Friday, 24 February 2017

Apa Masih Ada

Dan yang selalu berantakan
Terluka ter'rajuk'kan
Teresak dan tertangiskan
Itulah yang namanya perempuan
Lagi ditebak lagi dalam yang perlu diselam
Lagi didesak lagi banyak yang didiam
Sulit difahamkan
Rumit dihadamkan
Lalu, jika tiada persediaan
Apakah masih ada hari depan?

Monday, 19 December 2016

Saat Jauh

kesayanganku, 
maaf.

kasihku 

tetap tak upaya
walau sekuat apa pun kucuba
untuk berdamping dengan
sedihmu di sana.

kumohon

cuma
jika kemudian nanti
tuhan menghantar sosok lain
yang sesuai untukmu

aku masih tetap 
menjadi bagian dari jiwa
yang selalu 
kau rindu.

Saturday, 5 November 2016

Hal-hal Kecil yang Dirindukan

Masa sunyi sendiri
melihat dedaun kebasahan selepas hujan berhenti
di kerusi dan meja yang sama setiap kali
di restoran Secret Recipe
bersama sepotong kek kegemaran.
Dan bunyi kelotok kereta api
yang lalu lalang, datang dan pergi
di sepanjang jalan kereta api
bertentangan pejabat.
Dan sayup suara orang berkaraoke menyanyi
bergema memukul gegendang telinga
datang dari corong pembesar suara
dari deretan rumah kedai cina belakang pejabat.
Dan perlumbaan mengejar lampu isyarat
dari merah bertukar hijau
di lapan persimpangan
setiap pagi
dan petang.
Dan kucing-kucing peliharaan
yang saban hari berlari-lari
di celah-celah langkahan kaki
hingga kadang-kadang terlanggar dan terpijak ekornya
setiap kali pulang ke rumah bonda.
Dan pemandangan mengasyikkan
melihat atap zink rumah-rumah kedai
berwarna merah kecoklatan
dari jendela pejabat.
Dan rutin memasak
di dapur makcik naqibah
sebelum usrah.

Dan lalu,
tiada apa yang perlu dikesalkan.
Kita tetap akan ditinggalkan
oleh waktu yang berjalan.
Kerinduan
demi kerinduan
tidak pernah membawa kita berjauhan
dan bahkan
kenangan
demi kenangan
itulah yang mengubatkan.
Serta doa yang dipanjatkan
pada Tuhan.

Sunday, 20 September 2015

Cerita-cerita yang Tertangguh

*
Hari itu, saya didatangi oleh seorang klien. Em, bukan klien sebenarnya. Isteri kepada klien. Kliennya tidak boleh menapak menaiki tangga. Cedera teruk di kedua-dua belah kaki akibat kemalangan setahun yang lalu. Ya. Setahun yang lalu dan masih, sehingga ke hari itu, kesannya masih ada. Maka, hanya si isteri sahaja yang naik ke pejabat di tingkat satu untuk menyerahkan dokumen dan berjumpa dengan saya untuk mengetahui status kes suaminya. Lembut sahaja orangnya. Dan tenang. Sangat tenang.

Selepas pertemuan dengan si isteri, saya kira, sebenarnya, si isteri ingin meluahkan isi hatinya sahaja. Tentang getirnya perjalanan hidup mereka sejak setahun yang lalu. Suami yang diharap untuk menyara keluarga, kini perlu pula disara oleh si isteri. Suami hilang pekerjaan. Kerjaya si isteri pula tergugat kerana kerap cuti. Masalah kewangan yang kian meruncing. Anak yang dikandung beberapa bulan sebelum kemalangan berlaku, telah selamat dilahirkan namun mengalami pelbagai penyakit kerana dilahirkan pramatang. Si ibu tertekan. Dan saat itu, semasa dia duduk di hadapan saya, sambil akhirnya tangisnya tumpah, anaknya masih berada di Unit Rawatan Rapi. 

Dua hari kemudian, saya menerima pesanan ringkas di telefon bimbit, memaklumkan yang anak bongsu mereka telah diambil Tuhan.

Allah. Allah.

Dan Allah. Sentiasa memberikan yang terbaik untuk hamba-Nya. Sentiasa. Cuma kita. Cuma kita sahaja yang perlu yakin dan percaya. Sebab, apa pun yang terjadi dalam hidup kita hari ini, penuh dengan keterhijaban. Kita tidak tahu, ujian-ujian yang Tuhan beri, rahmatkah atau musibah. Justeru, berbaik sangkalah. Dengan Pencipta kita.

Dan pesan saya, berhati-hatilah memandu. Tolong. Kadang-kadang, kita tidak tahu. Kerana kecuaian kita, kesilapan kita, hidup orang lain, teruji hingga ke penghabisan. 

**
Manusia, ada sesetengahnya sedar kedudukan mereka sebagai manusia. Yang lemah, yang tidak memiliki apa-apa. Tapi ramai lagi yang beranggapan mereka raja, yang berkuasa, yang hebat, yang paling betul. Baru-baru ini dimarahi oleh seorang klien. Melalui sistem pesanan ringkas. Puncanya, duit. Malas ingin menghuraikan panjang lebar tetapi peristiwa itu sedikit pun tidak membekas di hati saya. Entah. Saya pernah lalui yang lebih teruk dari itu. 

Tapi itulah, nak katanya, yang bernama manusia itu. Sentiasa merasakan, dirinya Tuhan barangkali.

Dalam satu situasi lain, klien pernah tengking saya;
"Eh, I bayar you tau!"

Wah wah wah. 'Mulia'nya kedudukan. 'Hebat' sungguh kekayaan. Ok. Cukup. Entah. Saya selalu fikir, kenapa manusia memilih untuk bersikap bongkak dengan harta-harta yang tidak dimiliki. Sentiasa merasakan, dia betul. Apabila bercakap, macam langsung tidak berfikir. Sama sahaja. Lelaki atau perempuan. Apabila marah, perangai dan gerak laku macam orang takde iman. Tapi, datang ke pejabat, katanya; 'nak minta tolong.' [Mengeluh.] 

Dan peristiwa demi peristiwa itu, sebenarnya mendidik diri sendiri juga. Bukan semua orang boleh 'normal' kalau tengah marah. Bukan semua orang tidak lupa daratan kalau duit berbilion-bilion ada di tangan. And to all potential clients out there, tidak perlulah mendabik dada sebagus mana pun anda. Ingat Tuhan. 

***
Sedang membaca sekali lalu news feed di laman muka buku, tiba-tiba terbaca;

Ada banyak keadaan, terutamanya dalam dakwah dan tarbiyah
yang akan menguji emosi kita
Tapi Allah ajar untuk kawal dengan iman
dengan wahyu
Sebab kalau ikut emosi, sebenarnya syaitanlah yang memandu.

Bukan setakat rasa marah, rasa kecewa, rasa jauh hati, rasa unwanted, bahkan rasa sayang, rasa rindu, rasa kasih pun perlu dijaga-jaga. Agar tidak berlebihan. Keterlaluan. Apapun yang menguji kita, emosi kita, kawallah dengan iman. Dengan ayat-ayat Tuhan. 

Dan memang. Kena selalu mendoakan.

****
Im, again. Happy (belated) birthday. Semoga Allah selalu jaga.

*****
Dan menjadi manusia, 
silap rasanya jika saling mengharap dengan sesama.
Takkan terpenuhkan. 
Tak mungkin terjawabkan.
Mintalah dengan Tuhan.
Dan bersedialah, 
untuk dikurniakan lebih daripada apa yang kau pohonkan.

[Sumber]