Tuesday, 23 May 2017

Di Antara Dua Garis Waktu

i.

Pagi ini terima satu mesej dari aplikasi Whatsapp.

"Salam...MasyaAllah Nurul, rupanya kita pernah mesej dulu. Enti yang follow up anak saudara ana di UiTM Segamat dulu...Ya Allah.."

Saya terkesima. Lantas saraf fikir berlari selaju kuda tezi mengingat kembali hari-hari kelmarin. Maha Suci Allah. Betapa kita sememangnya cumalah makhluk yang sangat lemah dan sering leka. Akan selalu terlepas pandang akan keterikatan antara peristiwa demi peristiwa, perkara demi perkara. Sering terlupa bahawa, setiap jalan takdir yang terbentang di depan kita ini, Allah lah yang menyusun atur letaknya, merancang di mana keberadaannya dan mengetahui bilakah masa terbaik garis waktu setiap orang akan berselisih.

Langsung tidak terfikir, bagaimana nombornya boleh ada dalam simpanan. Langsung tak boleh kait. Langsung tak jangka. Haih. Sejatinya, sendiri pun tidak tahu bagaimana hendak menghuraikan.

Cuma hingga ke saat ini, saya masih lagi merasakan takdir Tuhan acapkali membuatkan saya terkagum-kagum tentang bagaimana halusnya Dia menyusun garis masa dan waktu.

"Agaknya, beginilah perasaannya di syurga nanti. Serasa bagai telah kenal lama. Cuma tidak ingat di mana." Sambungnya.

Dan ini, bukanlah kali pertama.

ii.

Belasan tahun lalu, di alam persekolahan, saya menyertai sebuah perkhemahan yang kalau boleh tidak ingin saya sertai kerana maha lasaknya latihan dan aktiviti. Tanpa saya ketahui, dalam perkhemahan tersebut, Allah juga telah meletakkan sahabat baik saya, yang saya kenali di jalan dakwah dan tarbiyyah ini sejak 3 tahun lalu, di dalamnya.

Hari ini, saya bersyukur kerana Allah telah mentakdirkan saya untuk menyertainya. Cuma baru tahun lepas, Allah izinkan kami untuk mengetahui garis waktu kami pernah berselisih dahulu cuma belum waktunya lagi untuk betul-betul bertemu.

Selalu saya katakan padanya,

"Hey Im, I wish I could know you earlier, so that I can love you, longer."

Dalam hidup ini, takdir selalu menciptakan perhubungan sebelum pertemuan. Seperti pagi tadi. Dan seperti semalam, semalamnya.






[Ruang langit di setiap pagi sewaktu sedang dalam perjalanan ke kantor.]

No comments: